Sekolah Kebangsaan (SK) Tiara Permai telah dibuka secara rasminya pada 3 Januari 2008. Pada hari pertama dibuka hanya 141 orang pelajar telah mendaftar di sekolah ini dengan kehadiran Guru Besar dan 8 orang guru sahaja. Guru Besar yang pertama ialah Datin Noor Asiah Bt. Md. Baki.
Bangunan sekolah SK Tiara Permai merupakan bekas bangunan yang terbengkalai selama 7 tahun yang dibina untuk dijadikan sebagai sekolah wawasan. Namun demikian, akibat kemelesetan ekonomi proses pembinaan sekolah ini ditangguh. Kos untuk membaikpulih bangunan sekolah ini menelan belanja hampir RM 7.5 juta. Nama sekolah ini pada asalnya ialah SK Batu Permai, namun di atas cadangan Guru Besar, nama sekolah ini telah ditukar kepada SK Tiara Permai berdasarkan kedudukannya yang terletak berdekatan dengan Taman Mastiara dan Batu Permai.
Sekolah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti bangunan sekolah yang boleh memuatkan 30 buah kelas, bilik guru, bilik transit guru, bilik-bilik khas, kantin , padang, jalan bertar dan tempat meletak kereta.
Kebanyakan kemudahan di bilik-bilik khas telah dilengkapi dengan sepenuhnya pada penghujung tahun 2008. Namun begitu padang sekolah tidak dapat digunakan pada tahun pertama kerana air bertakung apabila hari hujan. Masalah ini telah diselesaikan dengan penambahan tanah dan penaman rumput.
Pada hari pertama persekolahan, Dato’Noor Rezan Bt Bapoo Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, telah datang melawat sekolah dan bertemu Guru Besar, Datin Noor Asiah untuk melihat perjalanan pembukaan sekolah baru serta memberi kata-kata perangsang. Turut hadir bersama beliau ialah En. Zulkifly B. Mohd Nazir, Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Tuan Haji Mohd Radzi B. Abd Jabar, Pengarah Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan,Kuala Lumpur.
2009
Pada Tahun 2009, bilangan pelajar yang mendaftar di sekolah ini meningkat kepada 197 orang. Atas permintaan ibu bapa, Kelas Agama Fardu Ain (KAFA)
telah dimulakan pada penggal kedua 2009. Kelas ini bermula pada pukul 1.30 ptg sehingga 3.30 ptg setiap hari Isnin sehingga Jumaat.
Bumbung Anjung Permai telah dibina pada tahun 2009 untuk mengelakkan pelajar berada dalam keadaan panas semasa perhimpunan atau terkena pancaran matahari semasa pelbagai aktiviti dijalankan.
Tahun ini juga merupakan kali pertama pelajar sekolah ini menduduki UPSR dan telah memberikan keputusan yang mremberangsangkan iaitu 4 daripada 23 orang pelajar mendapat 5A. Keputusan lulus bagi semua mata pelajaran adalah 100 % kecuali Bahasa Inggeris.